Thursday, April 3, 2008

Rencana: Bangga sumbangan jururawat diiktiraf

MEMARTABATKAN profesion kejururawatan bukan impian mudah jika semua pihak tidak memberi komitmen padu dalam aspek penjagaan kesihatan.

Jururawat profesional dan terlatih penting untuk pembangunan negara bagi memastikan pesakit mendapat penjagaan sempurna.


Menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk memacu pembangunan modal insan dan profesion kesihatan.

Profesion kejururawatan pula semakin diiktiraf melalui Hari Jururawat pada 12 Mei setiap tahun.

Pengurus Jururawat Pusat Perubatan Selangor (SMC), Nor'aini Sha'arani, berkata banyak menghargai sumbangan jururawat dalam meningkatkan kesihatan masyarakat.

Berpengalaman lebih 27 tahun di hospital kerajaan dan swasta, beliau mengakui banyak perlu dilakukan bagi mendekati masyarakat melaksanakan pelbagai program kesihatan.

"Kami terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan seperti mengambil Rumah Titian Kasih sebagai anak angkat apatah lagi kebanyakan penghuni adalah ibu tunggal dan anak yang kurang bernasib baik.

"Kami sentiasa mengadakan seminar mengenai penyakit tertentu seperti barah payu dara dan penyakit kronik lain selain pemeriksaan kesihatan percuma," katanya di majlis pelancaran Kempen Senyum dan penganugerahan akreditasi SMC, di Subang, Selangor baru-baru ini.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan daripada Universiti Australia dan Sarjana Pengurusan, dia mengakui pentingnya menjaga kesihatan terutama di kalangan generasi muda.

Rakan baiknya yang berkhidmat di unit pembedahan, Noorunnisaa M Yusof, 54, melihat bidang kejururawatan lebih sesuai untuk wanita.

Sifat semula jadi wanita yang lebih lembut dan pandai mengambil hati menjadi sebab bidang itu dimonopoli golongan hawa.

"Antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila melihat bakal ibu yang trauma berdepan dengan kematian anak pertamanya.

"Sebagai orang Islam, di situlah kita diuji dan harus menenangkan mereka dengan sabar," katanya.

Bertugas di bahagian klinik dan pernah terbabit sebagai tenaga pengajar di sekolah jururawat, Sarathambal Gunaseelan, 53, mengakui tiada pemisah antara jururawat dengan masyarakat umum.

"Apa yang membanggakan saya pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan kami.

"Untuk membangunkan sesebuah negara, taraf kesihatan amat penting, saya berbangga kerajaan mengiktiraf sumbangan kami," katanya.

Sementara itu, pelancaran Kempen Senyum disempurnakan Pengerusi SMC, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir.

Ia bagi menggalakkan kakitangan memberi khidmat terbaik kepada orang ramai.

Pada majlis sama, Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) SMC turut mengiktiraf sumbangan hospital berkenaan apabila dianugerahkan pengurusan berkualiti.

Penganugerahan akreditasi selama tiga tahun (2008-2010) itu disempurnakan Timbalan Presiden MSQH, Puan Sri Suraya Hani Tun Hussein kepada Siti Sa'diah.

Oleh Noriah Idris

0 comments:

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP