Nilai kasih berbeza
SEBAGAI manusia biasa, sikap pilih kasih mungkin tidak dapat dielakkan, walaupun ibu bapa cuba berlaku adil dengan tidak membezakan kasih sayang untuk anak mereka.
Mungkin si ibu secara tidak disedari memberi lebih tumpuan kepada anak tertentu, misalnya anak bongsu, begitu juga bapa yang lebih sayang anak sulung atau anak lelaki.
Soalnya, sanggupkah kita menjadi ibu bapa yang hipokrit? Memberitahu anak yang kita membahagikan kasih sayang sama rata, sedangkan anak nampak siapa yang mendapat lebih perhatian.
Jangan takut untuk mengaku hakikat itu kerana kita kena akur dengan kelemahan diri sendiri.
Ibu atau bapa juga tidak boleh menyalahkan anak jika mereka tidak puas hati dengan tindakan kita melebihkan saudara kandungnya yang lain kerana manusia juga diciptakan mempunyai perasaan iri hati.
Sudah tentu ibu bapa ada sebab tersendiri mengapa ada anak yang menjadi kesayangan.
Perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, berkata ibu bapa perlu menerangkan apa yang memberi kelebihan untuk seseorang itu lebih disayangi.
Misalnya, sebab anak berkenaan pandai memujuk dan mengambil hati ibu, manakala yang seorang lagi sering ‘buat perangai’ atau memberontak.
“Rasulullah SAW apabila ditanya siapa isteri paling disayanginya, baginda memberitahu, Aishah isteri paling disayangi. Kita kena faham, kasih sayang adalah anugerah daripada Allah SWT.
“Sebagai anak, seseorang itu perlu menunjukkan perangai baik dan pandai menjaga hati supaya ibu bapa rapat dengannya.
“Jika anak berkata: ‘Ibu tak sayangkan kakak. Ibu asyik lebihkan adik saja’, jawapan yang boleh diberi kepada anak berpangkat kakak ialah: ‘Adik masih kecil, sebab itu perlu lebih perhatian. Ibu dan ayah juga beri perhatian sama ketika kakak masih kecil’,” katanya.
Khairol berkata, jika dilihat daripada segi psikologi, perwatakan anak berbeza mengikut susunan ia dilahirkan. Anak sulung atau ‘Along’ adalah pembayang kuasa ibu bapa kerana dia abang atau kakak.
Mereka mempunyai sifat tanggungjawab terhadap orang lain, terutama adiknya. Bagaimanapun, ibu bapa muda mungkin tidak menyedari perkara itu.
“Anak kedua atau ‘Angah’ sering ingin menjadi seperti anak sulung iaitu abang atau kakaknya. Biasanya mereka memiliki sifat memberontak. Mereka melihat abang atau kakak sebagai contoh untuk diikuti, misalnya jika masuk universiti.
“Anak pertama dan kedua biasanya ada hubungan rapat atau membentuk satu pasukan. Adik lihat abang atau kakak iaitu anak pertama dengan anak kedua ‘ngam’, tetapi mereka sebenarnya bersaing.
“Anak ketiga atau ‘Uda’ dan seterusnya yang dipanggil ‘Andak’, ‘Alang’, ‘Anjang’ atau ‘Uteh’ adalah jenis individu yang suka membawa diri.
“Antara mereka ada yang berjiwa sentimental dan membangunkan hubungan dengan perkara lain sebagai hobi baru.
“Misalnya, bercakap pada kucing dan mencoret pada buku atau diari mengenai apa yang tersirat dalam hatinya. Dalam mesyuarat keluarga, ‘anak tengah’ adalah individu yang paling kurang bercakap,” katanya.
Menurutnya, biasanya ada anak tengah mudah rasa terpinggir kerana menyangka ibu bapa tidak mempedulikannya dan suka melebihkan anak sulung serta bongsu.
“Mereka mungkin menganggap diri sebagai kerang di tepian pantai. Dipandang sepi walaupun ada harga,” katanya.
Beliau berkata, bilangan adik-beradik yang ramai mungkin menyebabkan ia terbahagi kepada dua kumpulan, dan anak tengah akan menjadi ‘orang tengah’ antara dua pihak iaitu kumpulan lebih tua dan lebih muda.
“Ada ibu bapa menyedari karektor anak berlainan mengikut susunannya, tetapi tidak ambil peduli perkara ini.
“Cara mendidik dan layanan juga sama rata, sedangkan sepatutnya pendekatan yang diambil hendaklah berbeza mengikut tingkah laku dan pembawaan anak.
“Ibu bapa juga harus menyedari anak pertama dan kedua tiada bezanya dengan anak tengah,” katanya
Oleh NORAINON OTHMAN
Ibu sentiasa menyangi kalian...4 EVER

0 comments:
Post a Comment